Sunday, March 18, 2018

SEKEPING HATI


Bermula dengan sekeping hati.

Pada asalnya seluruh bumi berada dalam kegelapan, tanpa panduan cahaya untuk mengatur kehidupan. Manusia berada dalam kejahilan dan kesesatan yang nyata. Sehinggalah Allah swt telah memilih satu spot yang begitu terpencil dari seluas-luas muka bumi itu untuk dijadikan titik mula turunnya wahyu, nur yang akan menyinari hidup manusia.

Di samping itu, dalam kalangan isi bumi Mekah yang ramai itu, dipilih pula salah seorang hamba-Nya untuk menerima amanah ini. Maka mulalah al-Qur'an turun ke dalam hati Rasulullah saw. Ia bermula dengan sekeping hati.

Rasulullah menjadi mentol pertama. Suasana masih suram & gelap. Kemudian satu mentol ini menjadi, dua, tiga, empat dan seterusnya bertambah & bertambah.

Satu demi satu hati dibebaskan dari kegelapan. Sehingga cahaya itu menyinari Semenanjung Tanah Arab. Ia sampai merentasi sempadan geografi, ke Afrika. Sampai ke Habshah, Mesir, Maghribi & seluruh Afrika Utara.

Di sebelah Timur pula ia sampai menerangi Parsi, sampai ke India, Pakistan & tidak ketinggalan ke kepulauan Melayu.

Dari Afrika Utara, cahaya hidayah sampai merentasi benua Eropah. Ia masuk ke Sepanyol yang dikenali sebagai Andalusia. Cahaya yang terus marak itu hampir-hampir sahaja membuka & membebaskan Perancis.

Dari arah yang lain, mentol itu menyala ke Turkey & kawasan sekitarnya.

Bermula  dengan sekeping hati. Cahaya ini merentasi waktu dan zaman yang jauh. Musuh-musuh Allah ingin memadamkan cahaya ini dengan mulut-mulut mereka tetapi usaha itu tidak berjaya.

Namun, setelah tempoh masa yang lama & perjalanan yang jauh itu. Ada kota-kota yang dahulu bersinar dengan cahaya ini telah kembali malap bahkan terus padam di situ.

Siapakah yang akan membawa kembali cahaya ini & menerangi wilayah-wilayah ini?

Masih banyak tempat tempat yang belum disapa sinaran cahaya. Meskipun  bacaan Qur'an kedengaran di corong-corong suara di kiri dan kanan kita, tetapi masih ada yang belum menerima cahaya tersebut sebagaimana sepatutnya.

Masih ada di sekeliling kita pusat pengajian yang suram & malap. Kolej-kolej yang suram dan malap. Bahkan apatah lagi hati-hati yang suram dan malap. Sesungguhnya manusia lahir saban hari. Jika kerja membawa cahaya ini tidak dilakukan, siapakah yang akan menyelamatkan mereka?


Dari Umar al-Khattab, Rasulullah saw bersabda;

"‏ إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ ‏"‏ ‏
Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini (Qur'an) sesuatu kaum dan merendahkan yang lain dengannya.

Sahih Muslim

Mereka yang menerima al-Qur'an, yang bergelimang dengan cahaya ini yang terdiri daripada ahli Qur'an, orang yang belajar di kuliah-kuliah deeniyah, atau mereka yang dipilih mengikuti program tarbiyah sepatutnya tidak lagi mencari kemuliaan lain dari kerja menyampaikan al-Quran.

Kelab-kelab yang tiada hala tuju, masa yang lama terbuang di gelanggang sukan, perbincangan-perbincangan dan perdebatan-perdebatan yang tidak membuahkan amal serta memburu jawatan yang sementara kerana ganjaran kredit & mata ko-Q merupakan musuh dalam selimut yang patut dibuang terus. Ini semua adalah fatamorgana yang menipu.

Adakah mustahil sejarah berulang? Sedangkan ia bermula dengan sekeping hati..


Semoga kita dijadikan sebagaimana golongan yang pertama. Yang bersungguh-sungguh nak masuk syurga. Yang cukuplah syurga menjadi motivasi, bukan ganjaran dunia yang bersifat sementara dan murah ini. Amin ya Rabb


https://telegram.me/muassis

1 comment:

ed treatment tablets said...

Thanks in support of sharing such a nice opinion, post is fastidious, thats why i have read it fully